Skip to main content

Pemimpin BN Perlu Berubah Kalau Tidak Akan Diubah

Juara MCA atau juara rakyat?

Oleh DATUK DR. PUAD ZARKASHI

Dalam Konvensyen Barisan Nasional (BN) yang lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengulas panjang mengenai winnable candidate. Menurut beliau, calon tersebut tidak semestinya popular di dalam parti, tetapi popular dalam kalangan rakyat. Calon seperti itu akan diberi keutamaan. Justeru, Najib memberi amaran, jangan pilih calon hanya untuk menguatkan kedudukan presiden parti, sedangkan calon itu tidak menang dalam pilihan raya.

Pepatah Melayu mengatakan, siapa makan cili maka dialah yang terasa pedasnya. Dalam konteks ucapan Najib itu, semua pemimpin komponen di atas pentas bertepuk tangan tanda bersetuju dengan Najib, hanya Soi Lek yang tidak senyum dan tidak bertepuk tangan. Kenapa?

Terpilihnya Dewan San Choon milik MCA sebagai tempat berlangsungnya Konvensyen BN menunjukkan kesungguhan BN untuk bermuafakat. Malangnya tanpa mengira sensitiviti pihak lain, Soi Lek meminta secara terbuka supaya UMNO tidak bersikap seperti 'Big Brother'. Dalam BN katanya, tidak ada abang sulung atau adik bongsu.

Dia juga menuntut supaya pemimpin UMNO jangan menggunakan perkataan 'Ketuanan Melayu' kerana ia berkaitan dengan konsep hamba dan tuan. Dia turut meminta supaya sebarang polisi jangan diumum dalam Majlis Tertinggi (MT) UMNO atau Perhimpunan Agung UMNO.

Kalau Soi Lek berkata demikian untuk tujuan menguatkan kedudukannya dalam kalangan ahli MCA dan menjadi popular hanya di dalam partinya, maka ia sudah bercanggah dengan apa yang disarankan oleh Najib. Sikap beliau tidak selari dengan presiden parti-parti komponen yang lain.

Apa yang beliau katakan itu adalah 'unnecessary.' Tidak patut dan tidak perlu. Menunjuk keberanian di hadapan penyokong atas isu yang tidak wujud, tidak berbangkit dan tidak relevan amatlah tidak wajar dan tidak bijaksana.

Apakah UMNO bersikap 'big brother' yang mendiskriminasi dan menzalimi parti-parti komponen yang lain. Sudah tentu tidak. Sebab itu UMNO sanggup mengorbankan banyak kerusi yang majoriti Melayu untuk ditandingi oleh calon dari parti komponen lain seperti MCA dan Gerakan. Lihat sahaja di Wangsa Maju, Bandar Tun Razak, Air Hitam, Labis, Simpang Renggam dan lain lain.

Secara kebetulan kerusi yang dimenangi oleh UMNO lebih banyak, maka atas prinsip BN yang mengutamakan konsensus, permuafakatan dan rundingan, maka Presiden dan Timbalan Presiden UMNOlah yang menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Itulah yang dipersetujui sekian lama.

Tidak wujud soal buli atau abang sulung yang zalim. Semuanya atas dasar muafakat sebab itu bukan mudah untuk mengagihkan kerusi dalam kalangan parti-parti komponen yang begitu banyak.

Dan bukan mudah pula untuk mengagihkan kerusi anggota Kabinet walaupun ada parti tersebut kehilangan banyak kerusi dalam Pilihan raya Umum (PRU) ke-12 termasuk MCA.

Dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor walaupun ada desakan daripada pemimpin UMNO Bahagian, kerusi itu tetap diserahkan kepada MIC dan UMNO bekerja kuat untuk memastikan kemenangan Kamalanathan. Dan ini turut dibuktikan di Batu Sapi. Walaupun Timbalan Ketua PBS Batu Sapi adalah Bumiputera Islam dan kawasan itu majoriti Bumiputera Melayu, namun calon berketurunan Cina daripada PBS tetap diberi keutamaan.

Bahkan untuk menyelamatkan BN, UMNO segera melakukan transformasi parti. Bukan untuk kepentingan UMNO seorang tetapi untuk kesinambungan tradisi perjuangan BN. Walaupun program Juara Rakyat kurang dapat dokongan daripada beberapa rakan tertentu dalam BN, tetapi UMNO tidak pernah patah semangat untuk meneruskan dan menjayakannya.

Soi Lek harus melihat pendedahan Pengerusi SPR mengenai trend daftar pemilih yang mana DAP lebih agresif berbanding dengan MCA. Apakah ia berpunca kerana UMNO bersikap 'big brother'?

Mengenai Ketuanan Melayu, istilah ini timbul apabila Datuk Abdullah Ahmad bekas Ahli Parlimen Kok Lanas membentangkan kertas kerja di Singapura. Dia menyebut tentang Malay dominance yang diterjemahkan oleh media sebagai Ketuanan Melayu. Seorang penulis bukan Melayu pada tahun 2007 juga menulis mengenai 'Malay Hegemony' dan 'Malay Supremacy'. Ia turut diterjemahkan sebagai Ketuanan Melayu.

Kenapa Soi Lek mahu melihat konsep itu dalam kerangka barat yang dikaitkan dengan 'Lord and Serf' atau 'Master and Slave'. Orang Melayu melihat Ketuanan Melayu dalam kerangka pemikiran orang Melayu yang berkaitan dengan bahasa, budaya, agama Islam dan kedudukan raja-raja Melayu dan semuanya itu dengan jelas termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Ia sama dengan perjuangan Soi Lek mengenai Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Bahasa Mandarin dan terbaru mengenai pengiktirafan sijil UEC. Apakah itu bukan perjuangan 'Ketuanan Cina'? Maka kenapa pemimpin seperti Soi Lek mahu mempolimikkannya. Ketuanan Melayu tidak ada kena mengena langsung dengan konsep 'supremacy' atau 'hegemony'. Soi Lek patut menyalahkan dirinya sendiri kerana terperangkap dengan konsep yang cuba diputarbelitkan oleh Anwar Ibrahim.

Ketuanan Melayu tidak menghalang pun kaum bukan Melayu berniaga, membeli tanah, termasuk hartanah. Kalau UMNO bersikap 'big brother' dan Ketuanan Melayu itu zalim, bagaimana pula orang Cina lebih dominan berbanding dengan orang Melayu dalam bidang perniagaan?

Oleh itu, di mana soal hamba dan tuan, atau 'big brother' yang arrogant yang dimaksudkan oleh Soi Lek itu? Untuk memastikan kemenangan BN, apakah keutamaan beliau. Menjadi popular hanya dalam kalangan penyokong parti atau dalam kalangan rakyat keseluruhannya? Di situlah kejayaan Najib. Beliau serius mahu rakyat didahulukan. Menjadi juara rakyat adalah keutamaan.

Sebab itu undi BN semakin meningkat di Manek Urai, Bagan Pinang, Hulu Selangor, Galas dan Batu Sapi. Itu tanda mereka menyokong kesungguhan Najib.

Semoga Presiden MCA itu tidak terperangkap dengan Anwar. Pada 14 April 2008 Anwar mengisytiharkan PKR menolak Ketuanan Melayu dan digantikan dengan Ketuanan Rakyat. Dulu dialah yang lantang bercakap mengenai Ketuanan Melayu. Sekarang dia mengaitkan Ketuanan Melayu dengan konsep tuan dan hamba. Dia cuba membunuh UMNO dengan cara tersebut.

Sedangkan dialah yang mempraktikkan dasar tuan dan hamba dalam PKR. Apakah Soi Lek tidak nampak itu semua?

Comments

Popular posts from this blog

Permintaan terakhir Nasir P.Ramlee....

Permintaan terakhir Nasir P.Ramlee.... Oleh: Noor Hasilah Ismail Lagu Putus Sudah Kasih Sayang akan diingati oleh balu Allahyarham Nasir P Ramlee, Suria Bakar, kerana lagu itulah yang dinyanyikannya untuk menidurkan Allahyarham sejak beberapa bulan lalu. "Sejak pulang dari klinik tiga bulan lalu kerana serangan sakit jantung, dia sering meminta saya menyanyikan lagu itu sebelum tidur tetapi apabila saya menyanyi, dia akan ketawa dan mengatakan suara saya tidak sedap," kata Suria, 44. "Saya telah berkahwin dengannya selama 20 tahun, dan Allahyarham memang suka bergurau. Tetapi sejak beberapa bulan lalu dia sering bergurau tentang kematian dan saya memberitahunya sekiranya dia pergi, maka putuslah sudah kasih sayang. Tetapi Allahyarham ketawa dan berkata, "Kalau Babah tak ada, kahwinlah lagi," dan saya sering memarahinya kerana gurauan yang keterlaluan itu," tambahnya. Menurut Suria kali terakhir Allahyarham sakit teruk ialah pada bulan puasa. Menurutnya All

Seks Luar Tabii Dan Curang Kepada Isteri Adalah Dosa Besar Dan Suatu Jenayah

Semalam di hadapan 3,000 penyokongnya di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor, Azmin Ali berkata dia tahu siapa dalang penyebaran video seks luar tabii yang dikaitkan dengannya. Dia juga telah berkata ini adalah konspirasi politik untuk menjatuhkannya. Ketua Polis Negara Hamid Bador pula bersetuju dengannya. Azmin dan Hamid Bador kedua-duanya adalah penyokong tegar Dr. Mahathir. Kepada Azmin dan Ketua Polis Negara, sebenarnya isu ini mudah sahaja: Perkara pokok dan isu utamanya adalah adakah Azmin buat perkara terkutuk itu atau tidak? Jika dia buat, dia tidak boleh salahkan orang lain apabila orang itu menunjukkan salahlaku jenayah tersebut. Jika seseorang ditangkap merogol melalui rakaman CCTV yang diletak oleh penyelia bangunan, takkan perogol itu mahu salahkan penyelia bangunan itu kerana melapor dan "berkonspirasi" ke atas dirinya? Jika ada perangkap dan konspirasi jahat untuk menjatuhkan anda sekalipun, sekiranya anda betul seorang alim dan warak dengan

Jenazah Allahyarham Datuk Ismail Hutson selamat dikebumikan

KUALA LUMPUR 21 Julai - Jenazah Presiden Persatuan Zoologikal Malaysia (MZS), Datuk Ismail Hutson, 72, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Seksyen 9, Kota Damansara di sini, kira-kira pukul 12.30 tengah hari ini. Ismail atau nama sebenarnya, Ismail Omar yang juga merupakan seorang pelakon dan terkenal menerusi drama bersiri Anjang Aki meninggal dunia akibat penyakit leukemia dan komplikasi jantung di Pusat Perubatan Sime Darby, Subang Jaya, Selangor pukul 1.17 pagi ini. Beliau meninggalkan dua balu, Zaiton Othman, 67, dan Hafizah Hasbullah, 45 dan tujuh anak iaitu Siti Khatijah; Osman; Faridah; Siti Mariam; Siti Norhayati; Ismail Kamal dan Mohd. Norfitri. Ketika ditemui pemberita, anak ketiga Allahyarham, Faridah, 38, memberitahu, mereka sekeluarga reda dengan berita tersebut selepas doktor memberitahu keadaan kesihatan bapanya semakin teruk. "Arwah dimasukkan ke hospital sejak 10 hari lalu selepas demamnya tidak surut. Selain leukemia yang dihidapinya sejak tahun