Skip to main content

Posts

Showing posts from May, 2008
Nama yang dicadangkan olih Dato Onn bagi pertubuhan ini ialah 'United Malays Organisation' atau 'UMO' tetapi setelah pindaan dibuat oleh Za'ba ia menjadi 'United Malays National Organisation' atau 'UMNO'. Ia memberi makna parti ini sebuah Pertubuhan yang besar merangkumi seluruh Negara seperti mana Petubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di peringkat dunia. Nama 'PEKEMBAR' di pakai pada mulanya mengikut singkatan dalam bahasa Melayu tetapi tidak kekal lama kerana 'UMNO' lebih sesuai.
41 buah pertubuhan Melayu menghantar wakil seramai 107 orang dan 56 pemerhati rasmi ke Kongres Melayu yang diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur pada 1 hingga 4 Mac 1946 tanpa menghiraukan negara dibawah pemerintahan British. Selain persatuan-persatuan yang berasaskan negeri, menarik perhatian ialah kehadiran wakil-wakil PKMM, Kaum Darat (Orang Asli), Kaum Ibu Selangor dan Kesatuan Melayu Singapura yang menyatakan sokongan kepada perjuangan ini.
Rumah Za'ba di Kampong Baru menjadi tempat mesyuarat bagi membincang agenda kongres dan Dato Onn berulang alik dari Johor Bahru ke sini bagi membuat persiapan. Surat jemputan kepada persatuan-persatuan Melayu di seluruh negara dibuat oleh Yunus Hamidi, Pengarang akhbar Majlis dan setiusaha persiapan.
Di Johor, amat menarik kerana telah berlaku peristiwa 'Orang Tujuh' melibatkan sebilangan pembesar-pembesar Melayu yang dipinpin oleh Datuk Abdul Rahman Mohd.Yasin menentang perbuatan Sultan Ibrahim menandatangani Perjanjian Malayan Union. Perbuatan itu dikatakan melanggar perlembagaan Johor yang menghendaki sebarang pertukaran bentuk kerajaan hendaklah dirujuk kepada rakyat terlebih dahulu.
Pada 28 Desember 1945, satu perhimpunan raksasa diadakan di Batu Pahat yang dihadiri oleh 10,000 orang membawa sepanduk anti-Malayan Union. Ia diikuti dengan perarakan oleh 50,000 0rang di Alor Setar (Kedah) di Kota Bharu (Kelantan) dan lain-lain tempat bagi meluahkan kemarahan mereka terhadap British. Namun sebulan kemudian, Laporan MacMichael dibentangkan dalam Parlimen British dan diluluskan.
Dalam masa yang singkat pada oktober hingga disember 1945, MacMichael telah melawat negeri-negeri Melayu dan mengugut Raja-raja bahawa jika mereka tidak menurunkan tanda tangan serta merta, mereka akan hilang takhta. Sesetengah raja sedar tentang implikasi Malayan Union dan marah terhadap perbuatan British cuba menghapuskan hak mereka tetapi oleh kerana mereka berada dalam keadaan tersepit, terpaksa juga mengikut kehendak wakil British itu.
Peraturan Malayan Union sesuai dengan keperluan penjajah yang sedang berusaha mengukuhkan kedudukannya setelah menguasai semula Tanah Melayu. Dengan mudah ia melupakan tanggung jawabnya kepada orang Melayu yang telah diberi perlindungan dalam ia mengekploitasi negara ini bagi kepentingan empayar. Kesan daripada peraturan-peraturan yang dibuat tidak dapat tidak akan menyebabkan orang melayu hilang negara sendiri.