Skip to main content

Permintaan terakhir Nasir P.Ramlee....





Permintaan terakhir Nasir P.Ramlee....

Oleh: Noor Hasilah Ismail





Lagu Putus Sudah Kasih Sayang akan diingati oleh balu Allahyarham Nasir P Ramlee, Suria Bakar, kerana lagu itulah yang dinyanyikannya untuk menidurkan Allahyarham sejak beberapa bulan lalu.

"Sejak pulang dari klinik tiga bulan lalu kerana serangan sakit jantung, dia sering meminta saya menyanyikan lagu itu sebelum tidur tetapi apabila saya menyanyi, dia akan ketawa dan mengatakan suara saya tidak sedap," kata Suria, 44.

"Saya telah berkahwin dengannya selama 20 tahun, dan Allahyarham memang suka bergurau. Tetapi sejak beberapa bulan lalu dia sering bergurau tentang kematian dan saya memberitahunya sekiranya dia pergi, maka putuslah sudah kasih sayang. Tetapi Allahyarham ketawa dan berkata, "Kalau Babah tak ada, kahwinlah lagi," dan saya sering memarahinya kerana gurauan yang keterlaluan itu," tambahnya.

Menurut Suria kali terakhir Allahyarham sakit teruk ialah pada bulan puasa. Menurutnya Allahyarham memang takut ke hospital dan setiap kali jika didesak ke hospital, mereka pasti akan bergaduh, maka selalunya dia terpaksa menghantar Allahyarham ke klinik.

"Dua minggu lalu Allahyarham melarang anak bongsu kami, Zaidee keluar rumah dengan alasan sekiranya apa-apa berlaku kepadanya, keadaan akan menjadi sukar jika Zaidee tidak ada," tambah Suria.



Menurut Suria, Allahyarham mengadu sakit pada waktu Subuh dan selepas makan ubat, keadaannya reda. Berkali-kali saya memujuknya ke hospital tetapi dia tak mahu. Tetapi apabila keadaannya kembali teruk pada tengahari, saya, Zaidee dan abangnya Zakaria mengambil keputusan untuk menghantarnya ke hospital dengan bantuan jiran kami, Suzie yang memandu kereta.

"Setiba di hospital pada tiga petang, selepas doktor memeriksa nadi dan darah, Allahyarham terus diberikan oksigen dan dimasukkan ke bilik kecemasan. Pada mulanya doktor enggan membenarkan saya masuk, tetapi saya berdegil juga dan akhirnya doktor mengalah.

"Saya sempat menyuapkannya air. Dia sempat memandang dan melemparkan senyuman kepada kami anak beranak sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir," kata Suria lagi.
Nasir, 55 ialah anak Allahyarham Tan Sri P Ramlee bersama Junaidah Daeng Haris pada 1950 dan perkahwinan itu hanya dapat bertahan selama empat tahun.

Walaupun ramai mendakwa dia adalah satu-satunya anak kandung P Ramlee, seniman agung itu dikatakan mempunyai seorang lagi anak lelaki bernama Arfan yang dibawa bersama Junaidah ke Indonesia selepas mereka bercerai. Namun, sehingga kini, berita itu dianggap khabar angin kerana belum ada bukti sahih mengenainya.

Pada 1955, P Ramlee berkahwin dengan kerabat diRaja Perak, Noorizan Mohd Noor. Perkahwinan mereka juga tidak kekal dan pada 1961 P Ramlee berkahwin dengan Saloma (Salmah Ismail).

P Ramlee bagaimanapun mempunyai tiga anak angkat, iaitu Sabarudin, Sazali dan Dian. Sabarudin bagaimanapun meninggal dunia di Hospital Kuala Kubu, Selangor akibat paru-paru berair pada 26 Oktober. Allahyram tidak meninggalkan waris dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Desa Kaloi, Ulu Yam Baru.



Jenazah Allahyarham Nasir akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Baru, pada 10 pagi Khamis. Sebelum itu jenazah dimandikan dan disembahyangkan di rumahnya di Q15, Jalan Sampadi, Taman Setapak.

Allahyarham meninggalkan dua orang anak bersama Suria, tiga orang anak hasil perkahwinan pertamanya dengan Mariati serta dua orang anak menerusi perkahwinan keduanya dengan Rashidah Jaafar.- 18/12/08


--------------------------------


Roslay Raffie sahabat sejati Nasir P Ramlee

Bak kata pepatah, teman ketawa senang dicari, teman menangis seorang diri. Bagi keluarga dan sanak saudara Allahyarham Nasir P Ramlee, ada seorang insan yang mereka anggap sebagai sahabat sejati.

Mungkin ada yang kenal dan mungkin ada yang tidak. Tetapi seorang insan bernama Roslay Raffie telah banyak berbudi kepada keluarga P Ramlee.

Apabila Allahyarham Nasir P Ramlee meninggal dunia, beliaulah yang paling bertungkus lumus membantu keluarga menguruskan segalanya, dari urusan hospital kepada memaklumkan keluarga terdekat, wartawan, orang kenamaan, artis dan ramai lagi.

Beliau juga tidak putus-putus melayan panggilan telefon yang meminta arah panduan ke rumah Allahyarham. Malam tadi, kelihatan beliau juga sibuk membantu keluarga Allahyarham merancang pengkebumiannya pagi ini.

Nama Roslay Raffie mungkin tidak dikenali di kalangan orang biasa, tetapi di kalangan wartawan, beliau bukan asing. Roslay pernah bertugas sebagai jurugambar iklan, majalah Varia Pop dan Watan dan kini sebagai pegawai kerani di pejabat UMNO dan mempunyai blognya sendiri: roslay-raffie.blogspot.com.

Apa yang dilakukan oleh Roslay bukanlah perkara baru. Pada Oktober lalu, beliaulah yang bertanggungjawab menguruskan hampir segalanya apabila adik angkat Nasir, iaitu Sabarudin, meninggal dunia.

Allahyarham Sabaruddin pernah berlakon dalam filem Ahmad Albab sebagai anak Syawal.
Kisah Sabarudin (anak angkat P Ramlee dan Saloma) yang meninggal dunia pada usia 42 tahun amat menyayat hati. Sudahlah Allahyarham meninggal dunia tanpa waris, jenazahnya pula terpaksa ditahan di Hospital Kuala Kubu, Selangor dari pagi hingga petang kerana tidak seorang saudara mara pun datang menuntutnya kerana adik beradik angkatnya ketika itu terbabit dengan penggambaran di beberapa negeri.

Mujurlah Allahyarham mempunyai sahabat sejati seperti Roslay dan isterinya yang berhempas pulas mengesan adik beradiknya dan berjaya menghubungi Dian P Ramlee yang membantu di segi kewangan.

Selain mengeluarkan wang dari poket sendiri, Roslay juga berusaha mengutip derma daripada kawan-kawan seniman untuk menanggung segala kos hospital dan pengkebumian.

Roslay juga yang mewakili waris mengiringi kenderaan jenazah selepas maghrib, sementara isterinya serta berapa kerat masyarakat kampung menunggu di Tanah Perkuburan Islam Taman Desa Kaloi, Ulu Yam, dengan membawa lampu kalimantang.

Roslay, sememangnya sahabat sejati dan hari ini dia mengulangi sifat terpujinya membantu keluarga Allahyarham Nasir yang lebih bertuah daripada Sabarudin kerana hampir semua kaum kerabat dan saudara maranya hadir melawat jenazahnya semalam.

Ibu saudara Allahyarham Nasir, Mariani turut hadir, selain adiknya, Dian dan sepupunya Melissa Saila yang kelihatan menangis sayu. Bekas isteri Allahyarham, Rashidah Jaafar turut duduk di sebelah jenazah membaca yasin. Rakan-rakan artis lain yang kelihatan ialah Datuk Aziz Satar, Kuswadinata, Imuda, Abass Bakar (komposer), Baharuddin Haji Omar (Anjang Aki), Mat Over dan ramai lagi.

Alangkah bertuahnya saya jika mendapat sahabat seperti Roslay Raffie! - 18/12/2008

Comments

STF said…
saya nak jadi sahabat Rosley

Popular posts from this blog

Seks Luar Tabii Dan Curang Kepada Isteri Adalah Dosa Besar Dan Suatu Jenayah

Semalam di hadapan 3,000 penyokongnya di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor, Azmin Ali berkata dia tahu siapa dalang penyebaran video seks luar tabii yang dikaitkan dengannya. Dia juga telah berkata ini adalah konspirasi politik untuk menjatuhkannya. Ketua Polis Negara Hamid Bador pula bersetuju dengannya. Azmin dan Hamid Bador kedua-duanya adalah penyokong tegar Dr. Mahathir. Kepada Azmin dan Ketua Polis Negara, sebenarnya isu ini mudah sahaja: Perkara pokok dan isu utamanya adalah adakah Azmin buat perkara terkutuk itu atau tidak? Jika dia buat, dia tidak boleh salahkan orang lain apabila orang itu menunjukkan salahlaku jenayah tersebut. Jika seseorang ditangkap merogol melalui rakaman CCTV yang diletak oleh penyelia bangunan, takkan perogol itu mahu salahkan penyelia bangunan itu kerana melapor dan "berkonspirasi" ke atas dirinya? Jika ada perangkap dan konspirasi jahat untuk menjatuhkan anda sekalipun, sekiranya anda betul seorang alim dan warak dengan ...

Tan Sri Matshah Safuan Telah Kembali Ke Rahmatullah,

 Innalillahiwainnailaihirojiun...  Dukacita Dimaklumkan Bahawa Tan Sri Matshah Safuan Telah Kembali Ke Rahmatullah, Pengesahan Berita Ini Dari Pegawai Arwah Malek Razak . Arwah Ialah Pengasas Safuan Group Dan Mantan Presiden PERDASAMA Malaysia Telah Kembali Ke Rahmatullah Sekitar Pukul 7.40 Malam Tadi.  Jenazah masih di Hospital Princecourt. Semoga Rohnya Ditempatkan Dikalangan Orang Orang Yang Beriman Dan Bertaqwa Kepada Allah SWT. Aamiin... Al Fatihah  ( Dengan Bacaan Sepenuh nya), https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=983806289110256&id=100024426825153d