Skip to main content

Kenyataan penuh Abdul Razak Baginda 20hb.November 2008 di Hotel Maya, Kuala Lumpur

IZINKAN saya pertama sekali merakamkan penghargaan saya kepada sdr/sdri pagi ini. Saya juga ingin terlebih dahulu memohon maaf kerana tidak dapat bertemu sdr/sdri sebelum ini. Izinkan saya mulakan dengan mengucap syukur Alhamdulillah, segala pujian bagi ALLAH SWT, Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Agung kerana adanya saya disini hari ini, di antara sdr/sdri sebagai seorang yang bebas. Saya telah menghabiskan selama 22 bulan di penjara dan dengan pettunjuk ALLAH SWT jua, dengan keyakinan penuh bahawa saya tidak bersalah dan sokongan yang diberikan oleh keluarga dan kawan karib yang telah membantu saya melalui apa yang boleh saya katakan sebagai satu tempoh yang sangat menekan, sangat menduga dan sangat menyedihkan sepanjang usia 48 tahun saya. Kata-kata tidak akan mampu menggambarkan dan menyatakan penghargaan saya yang amat mendalam terhadap keluarga saya yang telah bersama-sama saya mengharungi waktu yang sangat mencabar ini. Kasih sayang dan dedikasi mereka yang tidak terhingga yang memberi saya kekuatan. Setiap hari Sabtu tanpa gagal, keluarga saya akan datang melawat saya semasa tempoh lawatan saya semasa tempoh lawatan mingguan. Sejumlah lebih 100 kali mereka datang melawat dan lawatan mereka adalah kemuncak dari seminggu saya. Sungguh, saya sangat bertuah. Mungkin lumrah manusia apabila seseorang didalam kesusahan, ramai yang menjauhkan diri. Saya telah menjangkakan ini dan tepat sekali,lumrah manusia ini tidak pernah mungkir. Saya telah menyambut dua kali hari raya di dalam penjara. Sebelum dipenjara, menjelang hari raya saya akan terima ratusan kad raya. Bagi dua tahun yang lepas, saya terima tidak lebih dari dua puluh keping kad. Kepada mereka yang telah menghantar ucapan selamat kepada keluarga saya dan kepada yang segelintir yang pernah hadir di mahkamah, saya ingin mengucapkan terima kasih. Kehadiran dan sokongan anda sangat bermakna kepada saya dan keluarga saya. Terima kasih yang tidak terhingga dari saya kepada para peguam saya yang bukan sahaja telah bekerja keras di dalam kes saya tetapi juga telah datang melawat saya di penjara. Semasa Perang Dunia Kedua, apabila askar ditawan sebagai tawanan perang, memang menjadi tugas mereka untuk melepaskan diri. Tentu sekali, tidak pernah terlintas difikiran saya untuk melepaskan diri, bagaimanapun saya tetap terlepas kerana fikiran saya sentiasa bebas. Zahirnya seseorang boleh dipenjara tetapi fikirannya tidak mungkin terpenjara. Keluarga saya, kawan karib, para peguam saya dan buku-buku saya telah membantu saya melepaskan diri, kerana fikiran saya tidak pernah terpenjara. Kepada saya, ini, inilah pelepasan diri yang bermakna. Ramai orang cenderung mempunyai tanggapan yang sempit dan negatif tentang penjara dan pihak penguasanya. Bagaimanapun, saya ingin menyatakan disini, ia bukanlah satu tugas yang mudah dan umumnya saya dapati pihak penguasa penjara telah menunjukkan satu tahap profesionalisme yang tinggi. Penghargaan saya juga untuk mereka. Akhir sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada tahanan-tahanan lain. Mereka telah menolong saya melalui kehidupan dipenjara yang antaranya, mereka menunjukkan kebaikan yang ikhlas kepada saya. Saya ingin mengambil kesempatan disini untuk mengucapkan semoga yang terbaik untuk mereka. Tidak ada perkataan yang mampu menyatakan dan menggambarkan kesengsaraan yang di lalui keluarga saya selama hampir dua tahun. Sejak saya ditahan dalam bulan November 2006, banyak yang telah diperkatakan oleh ramai orang. Pembohongan dan tanggapan yang tidak berasas telah dijadikan asas yang kononnya dikatakan kebenaran. Kebenaran sebenar sudah tidak lagi menjadi penting. Seolah-olah tiada siapa yang berminat lagi untuk mengetahui perkara yang sebenar. Beberapa pihak telah membuat usaha yang berrsepadu untuk memutarbelitkan kisah sebenar sehingga menjadi timbunan sampah sarap. Pembohongan cepat sekali memintas kebenaran. Seperti yang dikatakan Shakespeare dalam Henry IV, "Pembohongan sudah setengah pusingan mengelilingi dunia sebelum kebenaran sempat menyarung kasutnya". Saya akui saya sendiri merasa terperanjat menyaksikan bagaimana kes saya telah digembar-gemburkan sebegitu liar dan orang yang tidak tahu menahu muncul ditengah persoalan dan berjaya memesongkan pandangan sedemikian ramai orang. Ramai yang telah ikut serta dan terbawa dengan perbuatan yang tidak benar ini. Yang tidak bersalah menjadi mangsa sementara yang berdusta bermaharajalela. Orang ramai mudah diperdaya dan mereka percaya apa yang ingin mereka percaya, tanpa menghiraukan kebenaran. Saya sedar akan adanya mereka yang sentiasa mencurigai dan memutar-belitkan segala apa yang saya katakan untuk meremeh dan menyalah tafsir kata-kata saya. Saya terperangkap dalam situasi "dipersalahkan jika berbuat sesuatu dan dipersalahkan jika tidak berbuat sesuatu". Ada yang menasihatkan saya supaya tidak memberi sebarang kenyataan kerana ia akan hanya menjadi satu usaha yang sia-sia. Kata mereka, apa pun yang saya katakan tiada bezanya kerana orang lebih suka dengan tafsiran mereka sendiri meskipun diceritakan yang sebenarnya. Walaupun setelah kisah yang sebenar muncul, orang-orang seperti ini akan mempunyai penjelasan mereka sendiri. Seakan suatu yang tidak boleh dimenangkan. Bagaimanapun, saya rasa jika saya tidak berani dan cuba melawan arus untuk menyatakan yang sebenarnya, saya hanya memejamkan mata dan malah membenarkan pembohongan berterusan. Saya akan cuba dengan rasa penuh tanggungjawab menegakkan kebenaran mengatasi kepalsuan. Bagi saya, mengambil sikap tidak peduli adalah tidak bertanggung jawab. Seperti kata Martin Luther, "Di sini saya berdiri, saya tidak dapat berbuat lebih, tolonglah saya Tuhan". Sdr/Sdri ahli media sekalian, Saya merayu kepada anda semua supaya berhenti menyebar fitnah tentang YAB Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri dan isterinya. Saya tahu bahawa Datuk Seri dan isteri tidak pernah menemui simati, Altantuya. Terlalu banyak fitnah yang dilemparkan kepada TPM dan isterinya. Mereka yang menyebarkan fitnah tidak pernah mengeluarkan bukti yang kukuh kerana sememangnya tidak ada bukti. Kebenaran adalah kebenaran dan tiada apa yang boleh mengubah kebenaran. Sdr/sdri mungkin cukup mengerti perbicaraan kes masih berlangsung. Saya telah dinasihatkan oleh peguam saya supaya tidak menyentuh secara khusus kes saya demi memelihara keluhuran perbicaraan tersebut. Akhir sekali, saya ingin mengucapkan Alhamdulillah, syukur ke hadrat ALLAH SWT bagi membenarkan dan menguatkan lagi bukti yang saya tidak bersalah di mahkamah. Saya juga ingin menjelaskan bahawa saya tidak pernah melakukan kesalahan kepada simati. Walau bagaimanapun, saya mengucapkan simpati saya yang tidak terhingga kepada keluarga simati keatas kehilangan mereka. Ribuan terima kasih diatas perhatian sdr/sdri.
Posted by Picasa

Comments

Unknown said…
Tuan,
Saya nak bertanya perkara yang lain dari tajuk di atas ini.
Saya baca dalam laman web lain yang tuan amat akrab dengan Allahyarham Nasir P Ramlee.
Saya rasa tuan juga rapat dengan boboy, anak P ramlee bernama Sabarudin. Dia ada kakak bernama ZSa Zsa Loma??? Mereka pernah berlakon dalam program Saloma yang ditayangkan oleh RTM dalam tahun-tahun 7an selepas kematian P Ramlee dan semasa itu tinggal di Taman Setapak. Rumah peninggalan P Ramlee yang menjadi lokasi filem. Dan pernah disewa oleh Ahmad Nawab sebelum Ahmad Nawab membeli rumah lain di Taman Setapak.
Rumah ini jugak unik kerena Mariani pula mendiami di rumah sebelahnya.
Saya kanak-kanak dan masih mengingati anak-anak PRamlee termasuk Sazali yang dah habis tingkatan 3 kerap berbasikal di situ dan anak-anak P Ramlee sendiri mengaji Quran dengan Umi di Q1 Taman Setapak.
Anak-anak P Ramee dan Mariani ini jga kerap datang solat jemaah dan terawikh di surau Taman Setapak yang baru dibuka masa itu.
Harapan saya kepada tuan mungkin boleh diwar-warkan semua ahli keluarga Saloma P Ramlee dan MAriani ini.
Mereka mungkin kurang dikenali sekarang tetapi memang pernah melakarkan sumbangan dalam yang ditayangkan oleh RTM.
Mungkin Keluarga Samad Haron, Mahani Ujang dan Ahmad Nawab sendiri boleh membantu.

Popular posts from this blog

Permintaan terakhir Nasir P.Ramlee....

Permintaan terakhir Nasir P.Ramlee.... Oleh: Noor Hasilah Ismail Lagu Putus Sudah Kasih Sayang akan diingati oleh balu Allahyarham Nasir P Ramlee, Suria Bakar, kerana lagu itulah yang dinyanyikannya untuk menidurkan Allahyarham sejak beberapa bulan lalu. "Sejak pulang dari klinik tiga bulan lalu kerana serangan sakit jantung, dia sering meminta saya menyanyikan lagu itu sebelum tidur tetapi apabila saya menyanyi, dia akan ketawa dan mengatakan suara saya tidak sedap," kata Suria, 44. "Saya telah berkahwin dengannya selama 20 tahun, dan Allahyarham memang suka bergurau. Tetapi sejak beberapa bulan lalu dia sering bergurau tentang kematian dan saya memberitahunya sekiranya dia pergi, maka putuslah sudah kasih sayang. Tetapi Allahyarham ketawa dan berkata, "Kalau Babah tak ada, kahwinlah lagi," dan saya sering memarahinya kerana gurauan yang keterlaluan itu," tambahnya. Menurut Suria kali terakhir Allahyarham sakit teruk ialah pada bulan puasa. Menurutnya All

Seks Luar Tabii Dan Curang Kepada Isteri Adalah Dosa Besar Dan Suatu Jenayah

Semalam di hadapan 3,000 penyokongnya di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor, Azmin Ali berkata dia tahu siapa dalang penyebaran video seks luar tabii yang dikaitkan dengannya. Dia juga telah berkata ini adalah konspirasi politik untuk menjatuhkannya. Ketua Polis Negara Hamid Bador pula bersetuju dengannya. Azmin dan Hamid Bador kedua-duanya adalah penyokong tegar Dr. Mahathir. Kepada Azmin dan Ketua Polis Negara, sebenarnya isu ini mudah sahaja: Perkara pokok dan isu utamanya adalah adakah Azmin buat perkara terkutuk itu atau tidak? Jika dia buat, dia tidak boleh salahkan orang lain apabila orang itu menunjukkan salahlaku jenayah tersebut. Jika seseorang ditangkap merogol melalui rakaman CCTV yang diletak oleh penyelia bangunan, takkan perogol itu mahu salahkan penyelia bangunan itu kerana melapor dan "berkonspirasi" ke atas dirinya? Jika ada perangkap dan konspirasi jahat untuk menjatuhkan anda sekalipun, sekiranya anda betul seorang alim dan warak dengan

Jenazah Allahyarham Datuk Ismail Hutson selamat dikebumikan

KUALA LUMPUR 21 Julai - Jenazah Presiden Persatuan Zoologikal Malaysia (MZS), Datuk Ismail Hutson, 72, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Seksyen 9, Kota Damansara di sini, kira-kira pukul 12.30 tengah hari ini. Ismail atau nama sebenarnya, Ismail Omar yang juga merupakan seorang pelakon dan terkenal menerusi drama bersiri Anjang Aki meninggal dunia akibat penyakit leukemia dan komplikasi jantung di Pusat Perubatan Sime Darby, Subang Jaya, Selangor pukul 1.17 pagi ini. Beliau meninggalkan dua balu, Zaiton Othman, 67, dan Hafizah Hasbullah, 45 dan tujuh anak iaitu Siti Khatijah; Osman; Faridah; Siti Mariam; Siti Norhayati; Ismail Kamal dan Mohd. Norfitri. Ketika ditemui pemberita, anak ketiga Allahyarham, Faridah, 38, memberitahu, mereka sekeluarga reda dengan berita tersebut selepas doktor memberitahu keadaan kesihatan bapanya semakin teruk. "Arwah dimasukkan ke hospital sejak 10 hari lalu selepas demamnya tidak surut. Selain leukemia yang dihidapinya sejak tahun